On the go and need some assistance? Call our Helpline:
MEDIA RELEASES
TERKENANG ANAK, ISTERI DI TANAH SUCI MENJELANG AIDILFITRI
Friday, 23 June 2017
KUALA LUMPUR
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Berjauhan daripada isteri dan anak pada Hari Lebaran buat pertama kali adalah cabaran baru yang terpaksa dihadapi oleh Nasrul Hakim Mohd Ramly, yang kini bertugas di Tanah Suci Mekah mengendalikan persiapan untuk operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi.

“Sebenarnya, perasaan hati saya amat bercampur baur. Tentunya, ia adalah satu cabaran yang hebat buat saya kerana inilah pertama kali saya meraikan Hari Raya bersendirian dan jauh daripada isteri dan anak saya. Menjelang beberapa hari sebelum Aidil Fitri, perasaan rindu itu menjadi lebih kuat. Tetapi, saya amat bernasib baik kerana mempunyai isteri yang amat memahami hasrat saya untuk berkhidmat di Tanah Suci Mekah ini.

“Saya amat teruja untuk berada di sini, berpuasa di sini dan berhari raya di sini. Mekah adalah tempat yang teramat istimewa untuk sesiapa saja yang berugama Islam. Ia tempat penuh berkat. Kerana itu, saya menerima tawaran bertugas di sini dengan sokongan penuh daripada isteri dan keluarga saya. Mereka amat menghargai peluang ini,” kata Nasrul, yang kini bertugas sebagai eksekutif di Jabatan Fasiliti, Penyelenggaraan dan Pentadiran di PRIME-Arab Saudi.

PRIME, atau Prasarana Integrated Management & Engineering Services, adalah anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menjadi pemacu dalam mengembangkan sayap Kumpulan berkenaan ke pasaran antarabangsa dan adalah pemegang kontrak untuk mengendalikan operasi dan penyelenggaraan MMMSL di Mekah.

Kata Nasrul, dalam merawat rasa rindu dan kesedihan di hati, beliau sentiasa mengambil peluang untuk beribadat di Masjidil Haram khususnya di bulan Ramadan al Mubarak pada masa lapang khususnya pada sebelah malam dan hari cuti mingguan pada hari Jumaat.

“Kami di sini turut bernasib baik kerana mempunyai pihak pengurusan yang amat prihatin. Setiap hari Selasa pada bulan Ramadan, Syarikat menaja berbuka puasa beramai-ramai di surau pangsapuri kami tinggal. Kami turut menerima kunjungan khas daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Azmi (Abdul Aziz) sendiri dari Kuala Lumpur baru-baru ini untuk meraikan kami di bulan Ramadan ini.

“Kata-kata semangat dan peransang Dato’ Sri Azmi cukup besar ertinya buat kami semua di sini khususnya di kalangan kami yang terpaksa menyambut Hari Raya di sini; berjauhan dari isteri, anak-anak, keluarga dan kawan-kawan di Malaysia,” kata Nasrul, yang mempunyai dua orang cahaya mata.

Bagi pemandu tren, Shamsul Kamal Othman, perpisahan dengan isteri tercinta, Norhasyida Hamdan pada Hari Raya yang bakal tiba ini adalah tempoh yang paling lama sejak mereka mendirikan rumah tangga sejak lima tahun lepas.

“Sebelum bekerja di Mekah untuk MMMSL, saya bekerja sendiri dan selalu keluar ‘outstation’ dan ke luar negara untuk urusan perniagaan. Tetapi, kali ini adalah ini adalah tempoh yang paling lama kami berjauhan. Kalau ditanya, tentulah memang tak ‘best’ raya sendiri, jauh daripada isteri tercinta dan berjauhan dengan keluarga.

“Tetapi, ini semua adalah tanggungjawab; dan kami semua yang menerima tawaran bertugas di Mekah ini sudah sedia maklum cabaran yang dihadapi. Kerana itu, kami semua sudah menyiapkan diri kami untuk beraya di kota suci Mekah ini,” kata Shamsul Kamal, yang merupakan antara 50 pemandu tren yang diambil khas untuk bertugas pada musim ini.

Mereka adalah kumpulan bekas pemandu tren Rapid KL dan KTM, yang ditawarkan bertugas untuk operasi MMMSL; tetapi perlu dilatih semula bagi mengendalikan tugas penting mengendalikan 15 set tren 12 gerabak untuk operasi haji tahun ini. Mereka akan disertai bulan depan oleh 84 lagi pemandu tren Rapid Rail dan ERL serta 24 pemandu tren dari Arab Saudi, yang telah dilatih oleh Akademi Rel, Rapid Rail di Kuala Lumpur.

Pernah bertugas sebagai pemandu tren dengan STAR-LRT dan juga KTM, Shamsul Kamal, yang mempunyai perniagaan makanan sendiri dan menjual pakaian di Tanjung Malim, Perak, berkata beliau memilih untuk membuat pengorbanan untuk tinggal sementara di Tanah Suci Mekah dan berjauhan dengan isteri kerana teruja dengan prospek untuk menyemai bakti membantu para jemaah menunaikan ibadat haji.

Mula di tempatkan di kuarters pemandu tren di Depoh MMMSL di Arafah sejak 20 Mei lepas, Shamsul, yang belum mempunyai cahaya mata, berpendapat menyediakan kemudahan kepada ratusan ribu para jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji adalah satu bakti yang murni dan ibadat yang amat besar.  

Bakal beroperasi selama tujuh hari mulai 29 Ogos untuk musim haji tahun ini, perkhidmatan MMMSL bakal menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 350,000 jemaah haji dari negara-negara Timur Tengah dan Selatan Asia, yang meliputi India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Jemaah Malaysia tidak menggunakan perkhidmatan MMMSL kerana kedudukan khemah mereka terletak terlalu jauh daripada jajaran tren berkenaan.

Perasaan sedih dan rindu kepada keluarga itu turut dirasai oleh Timbalan Pengurus Stesen MMMSL, Haji Farid Ali, yang bagaimanapun, pernah mengharungi segala pengalaman mencabar berkenaan sejak empat tahun lepas.

“Saya mula bertugas untuk perkhidmatan MMMSL ini sejak 2014 ketika operasi ini dilaksanakan oleh pihak ERL untuk CRCC (China Railway Construction Corporation Limited). Saya dipilih bersama 11 staf Rapid KL lain pada tahun berkenaan dan mula bertugas di sini pada bulan puasa. Pada tahun berikutnya, kontrak mengendali operasi dan penyelenggaraan diambil alih pula oleh Prasarana dan setiap tahun, saya akan ke sini untuk menabur bakti. Sememangnya, begitulah rutinnya bagi saya sejak 2014 lagi.

“Namun, kesedihan itu tetap terasa, kerana Raya di sini adalah amat berbeza daripada Malaysia. Di Malaysia, raya amatlah meriah. Di sini, tak adalah macam kat kampung di Malaysia. Sebenarnya, kalau ikut perancangan awal saya dengan isteri saya, tahun ni kami satu famili akan beraya di kampung saya di Kampung Selinsing, Semanggol, Perak. Tetapi, telah diberi amanah untuk bertugas di sini lagi. Segalanya ketentuan Illahi. 

“Tentunya, rasa terharu dan sedih khususnya apabila Hari Raya semakin menjelang. Tetapi, tanggungjawab perlu dilaksanakan dan pengorbanan perlu dibuat. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak saya memahami. Maka, saya kuatkn semangat dan azam untuk bersama rakan-rakan untuk menyambut Aidil Fitri di sini,” kata Haji Farid – suami kepada Fatimah Mohamad dan tiga cahaya mata.

Mungkin yang agak beruntung sedikit adalah Penyelaras Teknikal PRIME-Arab Saudi, Shah Hazli Shahurudin, yang akan turut menyambut Hari Raya Aidil Fitri tahun ini di kota suci Mekah, tetapi bersama-sama dengan seluruh keluarganya.

Isterinya, Siti Aisyah Mohd Yusuf dan empat anaknya - Nurul Iman, Amal Husna, Ihsan Hafiy dan Amna Zara telah datang bercuti di Arab Saudi untuk meraikan Aidil Fitri bersama-sama dengan beliau. 

“Tentunya, rasa gembira kerana dapat beraya di tanah suci Mekah bersama-sama famili. Tetap, tetapi sayu dan terharu sebab berjauhan dengan ibubapa saya, ibubapa mertua dan adik beradik di Malaysia. Lain rasanya rasa di perantauan ini,” tambah Shah Hazli, yang bekerja tetap di Mekah sejak tahun lepas.

Di samping para pemandu tren dan para pekerja tetap PRIME - Arab Saudi, turut bakal meraikan Aidil Fitri di perantauan di kota suci Mekah ini adalah 21 staf Rapid Bus, yang berada di sini sejak bulan Mei lepas untuk mengendalikan proses pengambilan 6,600 pekerja sementara Arab Saudi untuk bertugas semasa operasi tren haji nanti.

Seperti yang lain, mereka redha dengan ujian ini demi menunaikan tanggungjawab di Tanah Suci.


Nasrul Hakim (kanan) bergambar kenangan dengan Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz ketika lawatan beliau ke Mekah baru-baru ini.
Shamsul Kamal (tiga dari kanan) bersama-sama dengan rakan-rakan pemandu tren di Depoh MMMSL di Arafat
Shah Hazli dan anggota keluarga menggunakan kesempatan di Tanah Suci untuk melakukan umrah.
Haji Farid Ali (tengah) sentiasa tabah demi tugas di Tanah Suci Mekah.
Change Location
From
    To
      Save Route
      You can only save routes if you are a member. Sign up now to be able to save up to 10 routes! You can also receive updates and news from MyRapid.
      Save Route
      The route has been saved successfully.
      Route has been Saved
      You have saved this route previously. Please try saving another route.
      You have saved more than 10 Routes.
      Opps! You have saved more than the set 10 routes. Please delete one or more route(s) and try again. Thank you.
      Ooops!
      Generic Popup