On the go and need some assistance? Call our Helpline:
MEDIA RELEASES
Prasarana Terus Perkasa Keselesaan OKU Guna Pengangkutan Awam
Monday, 9 December 2019
Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 9 Disember – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) – pemacu dalam transformasi industri pengangkutan awam negara - akan terus memperkasakan inisiatif- inisiatif bagi meningkatkan keselesaan di kalangan golongan OKU dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan oleh syarikat milik penuh kerajaan itu.
1

Ketika menyatakan perkara ini, Ketua Pegawai Operasi (Operasi) Kumpulan Prasarana, Encik Muhammad Nizam Alias berkata pihaknya akan terus bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), yang antara portfolionya adalah untuk memperkasakan kesejahteraan kehidupan di kalangan golongan OKU atau ‘Orang Kurang Upaya’.

Menunaikan janji berkenaan, Prasarana, buat julung kalinya, memberikan perjalanan percuma untuk para pemegang kad OKU bersama-sama seorang pembantu menggunakan perkhidmatan rel Rapid KL – LRT, MRT dan monorel - untuk dua hari semalam (8 Disember) dan pada hari sebelumnya (7 Disember) bersempena dengan sambutan Hari OKU Kebangsaan 2019.

“Program ini adalah usaha kami bersama-sama dengan pihak kementerian (KPWKM). Kami di Kumpulan Prasarana sememangnya peka dengan keperluan golongan OKU. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian untuk memperkasakan keselesaan di kalangan OKU dalam menggunakan perkhidmatan kami,” kata Encik Muhammad Nizam kepada pemberita ketika mengiringi Timbalan Menteri KPWKM, YB Hannah Yeoh pada program berkenaan Sabtu lepas.

Bersama-sama dengan para pegawai kanan kementerian dan diiringi oleh wakil-wakil persatuan OKU, YB Hannah, yang turut menolak seorang OKU atas kerusi roda, menggunakan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dari stesen LRT Bank Rakyat Bangsar ke stesen LRT Pasar Seni. Walaupun program singkat, ia cukup simbolik dan signifikan dalam menyebarkan mesej komitmen kementerian dan Prasarana untuk memperkasakan keselesaan dan kemudahan untuk golongan OKU menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Selain menawarkan diskaun 50 peratus untuk golongan OKU menggunakan perkhidmatannya, Prasarana turut membina dan menaikkan taraf semua fasiliti-fasiliti kendaliannya termasuk tren dan bas bercirikan mesra OKU. Ketika mula beroperasi pada tahun 1996, perkhidmatan STAR LRT, yang kini bergelar LRT Laluan Ampang, ia tidak bercirikan mesra OKU sehinggalah Prasarana menaikkan taraf semua stesen-stesen laluan berkenaan pada tahun 2012 dengan dilengkapi kemudahan lif dan kawasan platform dinaikkan untuk memudahkan pergerakan kerusi roda masuk dan keluar tren.

Bercakap kepada para pemberita, YB Hannah merakamkan ucapan Syabas dan terima kasih kepada Prasarana kerana menyokong program kementerian berkenaan dan berharap syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi lain mengikut jejak langkah Prasarana untuk membantu golongan OKU.

“Program dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini julung kali diadakan sempena Hari OKU Kebangsaan 2019. Ia bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa semua pihak bertanggungjawab menjaga kebajikan OKU,” kata YB Hannah, yang berkata kini terdapat kira-kira 549,000 pemegang kad OKU di seluruh negara, yang berdaftar dengan kementerian.

“Walaupun program ini hanya untuk dua hari, ia boleh dianggap satu pencapaian besar sebagai pengiktirafan kepada golongan OKU oleh syarikat korporat dan kerajaan yang sentiasa prihatin untuk membantu mereka,” kata YB Hannah, yang sebelum ini mengadakan pertemuan dengan Prasarana 26 Jun lepas untuk membincangkan inisiatif untuk memperkasakan keselesaaan di kalangan OKU menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, OKU kerdil Dr Ruziah Ghazali berkata, pemberian tambang percuma dan potongan tambang 50 peratus kepada OKU banyak membantu mengurangkan kos hidup golongan berkenaan yang berpendapatan rendah.

“Ini kerana golongan OKU perlu menanggung kos perubatan berkala disebabkan masalah kesihatan. Saya juga berharap penumpang lebih prihatin terhadap golongan OKU semasa menggunakan perkhidmatan awam Prasarana dengan memberikan tempat duduk disebabkan keadaan fizikal mereka tidak boleh berdiri lama,” tambah Dr Ruziah.


3
Change Location
From
    To
      Save Route
      You can only save routes if you are a member. Sign up now to be able to save up to 10 routes! You can also receive updates and news from MyRapid.
      Save Route
      The route has been saved successfully.
      Route has been Saved
      You have saved this route previously. Please try saving another route.
      You have saved more than 10 Routes.
      Opps! You have saved more than the set 10 routes. Please delete one or more route(s) and try again. Thank you.
      Ooops!
      Generic Popup