On the go and need some assistance? Call our Helpline:
MEDIA RELEASES
PRASARANA TERIMA DENGAN TERBUKA LAPORAN JAWATANKUASA SIASATAN
Friday, 11 June 2021

Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di dalam sebuah kenyataan hari ini menerima dengan terbuka keputusan laporan insiden LRT Laluan Kelana Jaya yang membabitkan 2 buah tren LRT pada 24 Mei 2021.

1

Jawatankuasa Siasatan Insiden Perlanggaran LRT Kelana Jaya yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Isham Ishak, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah menyiapkan laporan berhubung insiden tersebut dan kemudiannya telah dibentangkan kepada Kabinet oleh Menterinya, YB Datuk Seri Dr. Ir. Wee Ka Siong pada 9 Jun 2021.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan warga kerja Prasarana, kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini. Kami amat sedih kerana kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun dan menerima dengan terbuka keputusan laporan awal insiden yang telah dibentangkan,” kata Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Hjh. Norlia Noah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pada insiden yang berlaku pada malam 24 Mei itu, sebuah tren kosong yang dipandu manual berlanggar dengan tren automatik di dalam terowong antara stesen KLCC dan Kg. Baru. Di dalam laporan Jawatankuasa Siasatan, Kabinet telah dimaklumkan mengenai rentetan peristiwa yang menyebabkan berlakunya perlanggaran tersebut. Antara lain kerana masalah teknikal, kegagalan komunikasi antara OCC atau ‘Operational Control Centre’ dengan pemandu (Hostler) Tren 40 tanpa penumpang yang pada ketika itu sedang berada dalam pengendalian ‘time out’ dan pelepasan Tren 81 sehingga berlakunya perlanggaran.

Laporan turut menyenaraikan dua puluh tiga (23) cadangan untuk penambahbaikan sistemik dan Kementerian Pengangkutan Malaysia akan mengaudit kemajuan penambahbaikan ini secara berkala.

Mengulas laporan ini, Norlia menerangkan di malam kejadian, pada mulanya kedua-dua OCC dan Hostler mematuhi kesemua prosedur operasi standard atau SOP yang berkenaan. Namun demikian, liputan radio komunikasi yang tersekat-sekat dan kelewatan perkhidmatan telah memberi tekanan yang tinggi bagi mereka untuk menggerakkan tren yang dipandu manual secepat mungkin dan ini secara tidak langsung telah menjadi antara punca SOP tidak dipatuhi sepenuhnya.

Sejajar dengan lima (5) cadangan penambahbaikan jangka pendek yang perlu dilaksanakan dalam masa tiga (3) bulan, Prasarana juga telah mengambil beberapa langkah segera berkaitan sistem keselamatan, operasi, tenaga kerja dan penyelenggaraan rel untuk mempermantapkan lagi SOP untuk perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang beroperasi secara automatik tanpa pemandu.

“Langkah-langkah ini adalah tambahan kepada piawaian antarabangsa dan prosedur operasi standard yang sedia ada. Kami sedang menyemak semula secara menyeluruh struktur, proses dan pematuhan keselamatan, kawalan akses ke trek, protokol untuk komunikasi dan sebagainya supaya kesemua cadangan jangkapendek dapat dilaksanakan. SOP juga telah diperketatkan dengan serta-merta untuk menangani sebarang gangguan komunikasi antara OCC dan tren- tren yang dipandu secara manual,” terang Norlia.

Sehubungan itu, langkah-langkah segera yang telah diambil dan berkuatkuasa mulai 30 Mei lepas adalah:

1. Menetapkan keperluan dua Hostler bagi segala pemanduan tren manual untuk jajaran di bawah terowong untuk LRT Laluan Kelana Jaya antara stesen Pasar Seni dan Damai.

2. OCC dan Hostler diwajibkan memastikan arah pergerakan tren yang dipandu adalah betul, tanpa sebarang kesangsian dan rasa ragu-ragu.

3. Membuat tambahan zon perlindungan atau ‘Manual Route Reservation (Automatic Train Protection) Buffer Zone’ kepada tren-tren yang terputus hubungan bagi memastikan tren berhenti pada jarak yang lebih jauh.

4. Pergerakan tren-tren secara manual dihadkan dengan kelajuan maksima pada hanya 20 km sejam.

5. Buletin Keselamatan telah dikeluarkan secara kerap dan berkala beserta penerangan semula tentang aspek keselamatan dan SOP kepada semua tenaga kerja Prasarana.

6. Mempergiatkan latihan tindakan kecemasan mini atau ‘Mini ERP Exercise’ untuk dijalankan pada setiap Ahad malam dengan penekanan kepada senario ‘menyelamat tren yang terputus komunikasi dan pemanduan tren manual’ bagi memantapkan lagi keupayaan staf dan sistem yang digunakan terutama yang melibatkan kawasan yang sukar diakses seperti terowong bawah tanah dan jejambat (‘viaduct’).

“Latihan ‘mini ERP’ ini sebenarnya telah berjalan sejak dahulu dan dilaksanakan dengan pelbagai fokus mengikut keperluan keadaan dan untuk mengendalikan pelbagai bentuk kecemasan. Akan datang, program latihan akan diselaraskan dengan kolaborasi pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk memantapkan dan meningkatkan kemahiran staf dalam menyelamatkan tren yang berhadapan dengan cabaran di dalam terowong dengan berpandukan kepada SOP yang dipertingkatkan ini,” kata Norlia.

Di samping itu, kekerapan latihan kompetensi bagi Hostler sedang ditambah baik dengan penambahan latihan dan pensijilan yang bersesuaian untuk memastikan tenaga kerja kekal cekap, relevan dan kompeten.

Selain memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat, fokus utama Prasarana adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit.

Sehingga hari ini, dua orang penumpang yang cedera akibat insiden tersebut masih dirawat di wad biasa di Hospital Kuala Lumpur manakala yang selainnya telah dibenarkan pulang.

Selain bantuan segera wang ihsan atau 'goodwill payment' kepada penumpang terbabit, Prasarana turut menyediakan bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan perbelanjaan lain yang berkaitan. Prasarana turut menyediakan khidmat kaunseling yang dijayakan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi para penumpang dan keluarga mereka. Temujanji untuk perkhidmatan ini boleh dibuat menerusi Talian Krisis dan akan disediakan selama mana ia diperlukan. Sehingga hari ini, seramai 73 orang telah tampil untuk menerima bantuan segera wang ihsan.

Prasarana menyeru para penumpang terlibat untuk menghubungi Talian Krisis di 014 737 1330 dan e-mel [email protected] yang disediakan untuk memudahkan komunikasi secara langsung tentang bantuan segera wang ihsan, pembayaran balik kos perubatan dan rawatan, tuntutan, dokumentasi dan akses kepada perkhidmatan kaunseling.


“Prasarana turut akan memberi laporan berkala tentang pelaksanaan cadangan penambahbaikan khususnya cadangan jangkapendek untuk segera memulihkan sepenuhnya keyakinan terhadap perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, yang amat penting untuk urusan harian warga kota. ” tambah Norlia.

3
Change Location
From
    To
      Save Route
      You can only save routes if you are a member. Sign up now to be able to save up to 10 routes! You can also receive updates and news from MyRapid.
      Save Route
      The route has been saved successfully.
      Route has been Saved
      You have saved this route previously. Please try saving another route.
      You have saved more than 10 Routes.
      Opps! You have saved more than the set 10 routes. Please delete one or more route(s) and try again. Thank you.
      Ooops!
      Generic Popup