On the go and need some assistance? Call our Helpline:
MEDIA RELEASES
Prasarana Lancar SMILE untuk Permantap Perkhidmatan Pelanggan 
Thursday, 2 November 2017
Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 2 November – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) – pemacu transformasi dalam sistem pengangkutan awam negara – hari ini melancarkan satu lagi inisiatif dalam memantapkan lagi kualiti perkhidmatannya selaras dengan misi Kumpulan berkenaan untuk menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

SMILE – singkatan kepada Senyuman Mesra & Ikhlas, Layanan Efisien – adalah inisiatif terbaru di bawah program Budaya Layanan Cemerlang, yang didokong oleh Divisyen Modal Insan Kumpulan Prasarana dalam menerap nilai-nilai murni dalam perkhidmatan sekali gus menaikkan imej Syarikat dan menarik lebih ramai untuk menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang dikendalikan oleh syarikat berkenaan.

Dengan warga kerja yang melebihi 10,000 orang sekarang, Kumpulan Prasarana adalah syarikat induk kepada Rapid Rail Sdn Bhd dan Rapid Bus Sdn Bhd, yang masing-masing menjadi operator kepada perkhidmatan rel urban negara; dan perkhidmatan bas henti-henti di Kuala Lumpur dan Selangor (Rapid KL), Pulau Pinang dan Seberang Prai (Rapid Penang); Kamunting dan Taiping (Rapid Kamunting); dan Kuantan dan kawasan-kawasan persekitarannya (Rapid Kuantan) serta perkhidmatan bas perantara MRT Laluan Sungai Buloh - Kajang.

Gandingan Rapid Bus dan Rapid Rail, yang mengendalikan operasi LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Sri Petaling, KL Monorel dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, menyediakan perkhidmatan kepada lebih satu juta penumpang sehari.  

Di samping itu, Kumpulan Prasarana adalah juga syarikat induk kepada Prasarana Integrated Management & Engineering Services Sdn Bhd (PRIME); Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Prasarana Rail and Infrastructure Projects Sdn Bhd (PRAISE), Prasarana Integrated Solution and Management Sdn Bhd (PRISM), dan Rapid Ferry Sdn Bhd, yang mengendalikan operasi dan perkhidmatan Feri Pulau Pinang.  

Diadakan di Stesen LRT Putra Heights, majlis pelancaran program SMILE itu telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz, yang menyerahkan watikah perlantikan kepada 10 Duta SMILE dan 10 Jurulatih SMILE. Mereka akan disokong oleh satu jawatankuasa induk, yang akan menubuhkan kumpulan-kumpulan kecil untuk menyokong program mereka.  

Sebagai permulaan, program SMILE ini mensasarkan tiga kumpulan utama – Rapid Rail, Rapid Bus dan pasukan Polis Bantuan Kumpulan Prasarana; dengan Akademi Rel Rapid Rail dan Akademi Bas Rapid Bus menjadi tenaga utama dalam menyediakan latihan kepada staf dan kakitangan Kumpulan Prasarana.

Selain bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan para pelanggan dan menyerlahkan perkhidmatan yang mesra dan ceria, program SMILE juga bertujuan untuk memupuk budaya mesra di kalangan warga kerja Kumpulan Prasarana sendiri.

Dengan sasaran jangka masa panjang untuk menghasilkan tanggapan positif di kalangan para pelanggan terhadap perkhidmatan tren dan bas kendalian Kumpulan Prasarana, ia juga diharapkan akan dapat mengharumkan nama Prasarana melalui perkhidmatan yang mesra dan efisien.

Sekali gus, ia diharapkan untuk meningkatkan jumlah penumpang untuk kedua-dua perkhidmatan bas dan tren selaras dengan amanah yang diletakkan oleh Kerajaan kepada Prasarana untuk memacu misi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada nisbah 40:60 berbanding dengan penggunaan kenderaan sendiri menjelang 2030.

Selain program SMILE dan Budaya Layanan Cemerlang, inisiatif besar lain yang dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana pada tahun ini untuk merangsang peningkatan kualiti perkhidmatan di kalangan warga kerja Kumpulan Prasarana dan anak-anak syarikatnya adalah Anugerah PEARL, atau singkatan kepada Prasarana Employees Award Recognition for Life.


Change Location
From
    To
      Save Route
      You can only save routes if you are a member. Sign up now to be able to save up to 10 routes! You can also receive updates and news from MyRapid.
      Save Route
      The route has been saved successfully.
      Route has been Saved
      You have saved this route previously. Please try saving another route.
      You have saved more than 10 Routes.
      Opps! You have saved more than the set 10 routes. Please delete one or more route(s) and try again. Thank you.
      Ooops!
      Generic Popup