Dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, pas yang akan memberikan penjimatan berbaloi kepada para pengguna pengangkutan awam di Pulau Pinang dan Butterworth itu akan mula dilaksanakan pada 1 September ini. Pas-pas berkenaan sudahpun mula dijual sejak 20 Ogos lepas.
Menggunakan konsep yang sama untuk pakej My50 dengan nama yang diilhamkan oleh YB Loke sendiri, Pas Mutiara membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang dan Feri Pulau Pinang berulang-ulang kali dalam sehari tanpa had untuk tempoh 30 hari berturut-turut dengan hanya RM50.
Diadakan di Terminal Bas Weld Quay di sini, majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dan para pegawai tinggi Prasarana, Rapid Bus dan Rapid Ferry yang lain.
Dalam ucapan pelancarannya, YB Loke berharap langkah untuk memperkenalkan Pas Mutiara di Pulau Pinang sebagai fasa kedua kepada inisiatif kemudahan perjalanan tanpa had dalam penggunaan sistem pengangkutan awam adalah ekoran daripada sambutan dan kejayaan inisiatif pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 di Lembah Klang, yang dilaksanakan pada 1 Januari lepas.
“Bertitik tolak daripada itu, kita bertemu di Terminal Bas Weld Quay B di sini pada hari ini bagi pelancaran Pas Mutiara yang merupakan pas perjalanan tanpa had selama 30 hari yang membolehkan rakyat menikmati perjalanan yang lancar dengan perkhidmatan Rapid Penang dan Rapid Ferry. Ini adalah satu ciri yang amat berlainan daripada pas perjalanan tanpa had yang dilancarkan di Lembah Klang sebelum ini,” kata YB Loke.
Rapid Penang kini beroperasi menggunakan 404 bas, merentasi 71 laluan dengan jumlah penumpang tahunan sebanyak 16 juta setahun; dengan jumlah purata penumpang harian adalah melebihi 75 ribu penumpang sehari. Manakala, Rapid Ferry, yang beroperasi menggunakan 6 feri yang berlabuh di 2 jeti, mempunyai jumlah penumpang tahunan sebanyak 865,559 penumpang dan 762,498 kenderaan; dengan jumlah purata penumpang harian sebanyak 3,696 penumpang, 1,198 kereta, 1,855 motosikal dan 59 kenderaan daripada jenis lain sehari.
Kata YB Loke: “Kerajaan Pusat sebenarnya amat prihatin dengan peningkatan kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar. Oleh itu, melalui penjimatan yang ditawarkan oleh Pas Mutiara, rakyat sudah tentu dapat mengurangkan serba sedikit bebanan kos sara hidup mereka. Pelancaran Pas Mutiara ini juga akan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi rakyat. Dengan peningkatan kemudahan jaringan pengangkutan di antara Pulau dan Seberang Perai, pas perjalanan tanpa had ini dapat membantu memacu ekonomi bukan sahaja di dalam Pulau Pinang malah di negeri-negeri berdekatan.
“Saya dimaklumkan bahawa Prasarana mensasarkan dapat menjual sehingga 2,500 Pas Mutiara menjelang Disember 2019, dan mencapai 4,000 pas perjalanan tanpa had pada bulan Disember 2020. Sungguhpun sistem pembayaran tanpa tunai masih baru di negeri ini, terutamanya di dalam sektor industri pengangkutan awam, saya percaya dari segi penerimaan masyarakat di Malaysia secara amnya, bahawa rakyat Pulau Pinang akan menerimanya dengan baik. Oleh itu, saya yakin penjualan Pas Mutiara ini akan melebihi sasaran yang disebutkan tadi,” tambah beliau.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Mohamed Hazlan berkata Pas Mutiara ini akan membolehkan penduduk sekitar Pulau Pinang boleh menikmati manfaat dari segi peningkatan pilihan bagi mobiliti, yang sekali gus akan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang.
“Dengan pelancaran Pas Mutiara ini, Prasarana berharap lebih ramai warga Pulau Pinang sama ada yang tinggal di pulau atau pun di seberang akan menggunakan pengangkutan awam bagi menikmati manfaat yang ditawarkan oleh Pas Mutiara. Ini juga sejajar dengan usaha untuk mengurangkan kesesakan jalan raya,” tambah Dato’ Mohamed Hazlan.