Rakan-rakan sekerja dari Rapid Bus termasuk di Pulau Pinang, Perak dan Pahang serta kakitangan Rapid Ferry turut menganjurkan program yang sama; tetapi tidak tepat pada 12 tengahari kerana perlu memilih perhentian yang sesuai bagi menyempurnakan program yang diatur bagi mengukuhkan hubungan dengan pelanggan dan menyemarakkan semangat cintakan negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Mohamed Hazlan Mohamed Hussain memimpin program di stesen LRT Pasar Seni di sini sejurus selepas beliau menghadiri perarakan Hari Kemerdekaan di Putrajaya, yang dihadiri oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamed dan anggota Jemaah Menteri yang lain.
Selesai acara di platform Stesen LRT Pasar Seni, Dato’ Mohamed Hazlan terus ke hab bas Pasar Seni di mana beliau menyertai warga kerja Rapid Bus menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu-lagu patriotik lain sebelum beramah mesra dengan pelanggan sambil membeli cenderahati sebagai menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan mereka.
Bercakap kepada para pemberita, Dato’ Mohamed Hazlan berkata idea menyanyikan lagu kebangsaan di dalam tren, bas dan feri dicetuskan oleh staf daripada Pusat Kecemerlangan Prasarana, Haji Zaki Mohamed yang percaya program itu ideal untuk Prasarana berkongsi erti kemerdekaan dengan rakyat Malaysia dan menghargai bumi bertuah ini.
“Ia disambut baik tanpa berbelah bagi oleh seluruh warga prasarana. Sambutan gaya Rapid KL ini diadakan buat julung kali. Ia merupakan sebuah detik yang mudah, tetapi indah; dan kami harap ia telah berjaya membakar semangat rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu dan saling menyayangi antara satu sama lain,” kata Dato’ Mohamed Hazlan, yang berpendapat program berkenaan menepati identiti Prasarana sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam untuk semua.
“Visi Prasarana adalah untuk menyediakan sambungan dan mobiliti untuk semua, ataupun "connectivity and mobility for all". Merdeka bagi kami adalah apabila rakyat Malaysia bebas memilih mod perkhidmatan pengangkutan awam yang lengkap dan bersepadu, supaya kehidupan dan urusan seharian mereka berjalan lancar dan teratur. Sistem pengangkutan awam yang cekap, selamat dan menepati masa adalah bagaikan pembuluh darah bagi pertumbuhan negara. Prasarana akan terus memacu agenda transformasi pengangkutan negara untuk rakyat Malaysia.
“Kami percaya rangkaian pengangkutan awam adalah platform yang amat ideal untuk menyemarakkan semangat patriotisme kerana ia digunakan segenap lapisan masyarakat. Dan, acara hari ini adalah surat cinta kami kepada Malaysia dan rakyat Malaysia. Bagi pihak warga Prasarana kami mengucapkan selamat menyambut kemerdekaan yang ke 62, Sayangi Malaysiaku; Malaysia Bersih,” tambah Dato’ Mohamed Hazlan.