On the go and need some assistance? Call our Helpline:
MEDIA RELEASES
PRASARANA AKAN MEMBERI KERJASAMA SEPENUHNYA KEPADA JAWATANKUASA SIASATAN
Tuesday, 25 May 2021

Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Susulan pengumuman oleh YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkenaan insiden membabitkan 2 buah tren LRT semalam, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memberi jaminan bahawa ia akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan agensi-agensi di bawahnya.

1

Pihak Prasarana juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyiasat insiden berkenaan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010.

Di dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.33 malam, 24 Mei 2021, sebuah tren tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang.

1. Seramai 47 orang penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan setelah dinilaikan oleh pasukan penyelamat dan perubatan kecemasan,
2. Manakala 17 orang lagi menyusul lewat malam, menjadikan jumlah mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur sebanyak 64 orang.
3. Seramai 102 penumpang yang lain tiada kecederaan atau mengalami cedera ringan.
4. Kiraan awal menunjukkan tren tersebut dinaiki seramai 232 penumpang. Namun demikian, kiraan muktamad menunjukkan jumlah sebenar ialah 213 orang.


Daripada 64 orang yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur:


1. Tahap kritikal: 6 orang termasuk 3 orang yang memerlukan bantuan ventilasi.
2. Tahap separa-kritikal: 15 orang
3. Tahap tidak kritikal: 43 orang


Data diperolehi daripada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Heric Corray menerusi e-mel kepada Prasarana pagi tadi.

Pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi itu antara lain adalah pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Angkatan Pertahanan Awam. Sebanyak tiga buah jentera penyelamat dari and seramai lebih kurang empat puluh orang tenaga kerja pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan berada di tempat kejadian.

Pintu tren telah dibuka pada lebih kurang jam 8.48 malam dan kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dari tren yang terhenti di antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru pada lebih kurang jam 9.28 malam.

Bercakap dengan pihak media selepas tinjauan dan taklimat oleh pihak operasi LRT Laluan Kelana Jaya pagi ini, Pengerusi Prasarana, YB Dato’ Sri Haji Tajuddin bin Abdul Rahman melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kejadian yang tidak diingini ini.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja Prasarana, kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini. Kami amat sedih dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun tanpa sebarang insiden sebegini.”

“Di samping memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan PDRM, fokus utama kami adalah untuk pembuat penilaian dan mengesyorkan langkah segera yang akan diambil untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit,” tambah Tajuddin.

Tajuddin turut mengumumkan tiga (3) bentuk bantuan kewangan yang akan diberikan oleh Prasarana kepada para penumpang yang terlibat:

1. Bantuan kewangan khas Seribu Ringgit (RM1,000) kepada semua penumpang terbabit;
2. Bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung oleh para penumpang; dan
3. Bantuan sara hidup bagi mereka yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini.

Prasarana telah melancarkan saluran khas di talian 014 737 1330 dan e-mel: [email protected] dan meminta para penumpang yang terlibat menghubungi Prasarana dengan secepat mungkin agar urusan bantuan khas ini boleh disegerakan.

Berkenaan dengan perkhidmatan LRT Aliran Kelana Jaya, Prasarana mengesahkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa bermula jam 6.00 pagi ini, dengan menggunakan satu landasan (single track) serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma (pada waktu puncak).

Dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu selainnya, serta pengurangan kapasiti kepada lima puluh peratus (50%) susulan daripada pengumuman Kerajaan berhubung langkah-langkah lebih ketat dalam pelaksanaan PKP 3.0, para penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa.

Untuk melancarkan pergerakan para penumpang pada waktu puncak, lima (5) buah bas perantara dua tingkat percuma, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.

Tambah Tajuddin, “Kakitangan kita ditempatkan di setiap platform stesen di antara Stesen Pasar Seni sehingga Stesen Ampang Park untuk memantau, membantu untuk memudahkan pergerakan penumpang.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari, setelah semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai. Prasarana juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.”

Prasarana akan memberikan kenyataan lanjut secara berkala berkenaan insiden ini pada masa yang sesuai.


3



Change Location
From
    To
      Save Route
      You can only save routes if you are a member. Sign up now to be able to save up to 10 routes! You can also receive updates and news from MyRapid.
      Save Route
      The route has been saved successfully.
      Route has been Saved
      You have saved this route previously. Please try saving another route.
      You have saved more than 10 Routes.
      Opps! You have saved more than the set 10 routes. Please delete one or more route(s) and try again. Thank you.
      Ooops!
      Generic Popup