Mengulas berita yang dilaporkan Buletin Utama semalam berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM terhadap ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan yang terlibat dari tahun 2014 ke 2017, serta jururunding, kontraktor, dan rakan pelaksana projek (PDP) yang terlibat dalam projek LRT3 tersebut, Prasarana, dalam satu kenyataan media hari ini, berkata ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan syarikat memandang berat terhadap sebarang salahlaku yang menjejaskan integriti dan nama baik syarikat.
Ia turut menyatakan pendirian bahawa ia akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam apa jua siasatan yang melibatkan organisasi berkenaan.
Terdahulu, Lembaga Pengarah Prasarana pada 12 Jun 2018 telah mengarahkan pengurusan kanan syarikat untuk melaporkan kepada Ketua Pegawai Integriti Prasarana sekiranya terdapat sebarang kejadian dan penyimpangan yang disyaki dalam projek tersebut.
Ketua Pegawai Integriti Prasarana adalah pegawai bertauliah integriti yang dipinjam dari SPRM.