On the go and need some assistance? Call our Helpline:
MEDIA RELEASES
KEMBAR ARVIN & ARYAN JADI ‘DUTA’ PROMOSI PRASARANA
Tuesday, 26 March 2019
Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Meminati rancangan TV ‘Thomas & Friends’, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan untuk melihat pasangan kembar Arvin dan Aryan cukup teruja sepanjang ‘Program Khas Cuti Sekolah – Perjalanan ke Dunia Prasarana’, yang memberi peluang kepada mereka melihat secara dekat kerja-kerja pengendalian tren LRT Laluan Kelana Jaya.
1

Setiap butiran penerangan didengar dengan teliti dan pasangan berusia 10 tahun, Arvindjit Singh dan Aryanjit Singh Jassal nyata yang paling aktif dalam sesi kuiz, yang turut menjadi antara acara tarikan untuk program khas selama tujuh hari, yang bermula semalam.

Dipacu oleh Pusat Kecemerlangan Prasarana atau ‘Prasarana Centre of Excellence’ (PACE), program khas cuti sekolah ini adalah projek perintis untuk membawa kanak-kanak sekolah dan golongan pelajar untuk mengenali dengan lebih rapat dan mendalam mengenai Prasarana dan perkhidmatan-perkhidmatannya.

“Harapan kami anak-anak ini akan menjadi duta kepada Prasarana kepada kawan-kawan dan ibu bapa mereka untuk memperkenalkan lagi Prasarana dan mempromosi penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam di kalangan masyarakat,” kata Ketua PACE, Encik Abdul Rahim Musa, yang melancarkan program itu semalam di Stesen LRT Ara Damansara.

Sebagai permulaan, program khas khusus untuk para pelajar ini menyediakan lawatan berpandu ke Depoh dan Pusat Kawalan Operasi LRT Laluan Kelana Jaya dan Depoh Bas Rapid Transit (BRT) – Laluan Sunway, yang merupakan satu-satunya perkhidmatan bas awam elektrik tunggal di Malaysia.

“Seronok! Saya rasa amat seronok; dapat naik tren, tengok tren dengan dekat; tengok kerja-kerja basuh tren dan cara tren dijaga. Memang ‘best’, penerangan yang diberi amat menarik,” kata Arvin, yang merupakan salah seorang daripada 23 pelajar yang menjadi kumpulan pertama untuk program khas berkenaan.

Disokong oleh Rapid Rail dan Rapid Bus, program perintis itu akan berlangsung sehingga Ahad ini. Dengan bayaran RM45 untuk kanak-kanak sekolah rendah dan RM55 untuk para pelajar sekolah menengah, program lawatan berpandu itu turut menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari di samping sesi cabutan bertuah.

Dikendalikan oleh pengajar Akademi Rel, Puan Norhaslita Ramli sebagai pemudahcara, program bermula dengan sarapan pagi dan taklimat keselamatan di Stesen LRT Ara Damansara sebelum mereka menaiki tren khas ke Depoh LRT Laluan Kelana Jaya di Subang. Perjalanan ke depoh melalui pusat mencuci tren atau ‘wash plant’ di mana kanak-kanak sekolah ini melihat sendiri dari dalam tren dipancut air untuk dicuci.

Semasa di kawasan worksyop, para pelajar, yang diiringi oleh Polis Bantuan Prasarana dan staf PACE sepanjang program lawatan, diberi taklimat oleh jurutera Muhammad Iqbal Sha’arani tentang kerja-kerja pengendalian dan pembaikian tren. Dari kawasan worksyop, mereka dibawa ke Pusat Kawalan Operasi di mana para pelajar berkenaan diberi taklimat mengenai operasi tren tanpa pemandu yang dikawal sepenuhnya di pusat berkenaan.

Selepas makan tengahari, para peserta menaiki tren ke Stesen LRT USJ7 sebelum beralih ke laluan BRT untuk ke Depoh BRT – Laluan Sunway, yang terletak di Jalan Lagun Selatan Bandar Sunway. Kerja-kerja pemudahcara diambil alih oleh Ketua BRT, Puan Ruslina Kamaruddin, yang bukan sekadar memberi taklimat mengenai operasi bas elektrik tetapi turut mengadakan sesi kuiz yang memberi peluang kepada pelajar memenangi hadiah.

“Paling menarik bagi saya, semasa di bengkel tren kerana saya dapat lihat tren yang rosak dibaiki di sana dan pengalaman pertama saya menaiki BRT secara persendirian dan berpeluang menaikinya sambil melihat pemandangan di Sunway,” kata Aryan ketika ditemui selepas program berkenaan.

Program khas cuti sekolah ini berakhir dengan para peserta kembali ke Stesen LRT Ara Damansara di mana nenek pasangan kembar Arvin dan Aryan, Puan Banz Kaur sudah sedia menanti cucu-cucu kesayangannya.

Ketika menyambut mereka, beliau mengucapkan terima kasih kepada warga kerja Prasarana sambil menghamburkan pujian kepada program berkenaan, yang menurut beliau memberi peluang kepada cucu-cucunya mempelajari dan merasai pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk menerokai alam pengangkutan awam.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai program, anda berminat boleh membuat tempahan dengan menghubungi Anis Mohd Noor melalui whatsapp di 019-3959539 ataupun melalui e-mel di schoolholidayspecial@prasarana.com.my.
3
Change Location
From
    To
      Save Route
      You can only save routes if you are a member. Sign up now to be able to save up to 10 routes! You can also receive updates and news from MyRapid.
      Save Route
      The route has been saved successfully.
      Route has been Saved
      You have saved this route previously. Please try saving another route.
      You have saved more than 10 Routes.
      Opps! You have saved more than the set 10 routes. Please delete one or more route(s) and try again. Thank you.
      Ooops!
      Generic Popup