Ketika mengumumkan perkara ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Hajah Masnizam Hisham berkata hak untuk bersuara itu, bagaimanapun, adalah bersandarkan kepada prinsip 'Demi Syarikat', atau apa yang beliau sebut sebagai Prinsip DS.
“Kita adalah satu pasukan. Anda semua adalah rakan sepasukan saya ; dan saya adalah rakan sepasukan anda. Walau apa jua tugas anda; dan walau di manapun anda bertugas, kita semua adalah sama penting. Secara sendirian kita tidak akan mampu menjayakan agenda syarikat. Justeru itu kita perlu sentiasa bekerja sebagai satu pasukan dan sentiasa bercakap antara satu dengan yang lain,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan Prasarana (KSKKP) yang keenam di Subang petang semalam.
Walaupun diberikan peluang dan kesempatan untuk menyuarakan pandangan dan meluahkan perasaan, Masnizam, bagaimanapun, menegaskan bahawa ia perlu dilakukan dengan disiplin dan penuh hormat.
“Saya tidak mahu ada staf dan kakitangan yang bekerja dengan ada perasaan negatif yang terbuku di hati. Saya mahu ianya diluahkan dan diberitahu kepada bos. Tetapi, ianya perlu dilakukan dengan betul; dan berasaskan kepada Prinsip DS ... Demi Syarikat,” kata Masnizam, yang mengambil alih teraju Syarikat pada 18 Januari lepas.
Diadakan di EVOLVE Megamall di Subang dan dihadiri oleh lebih 800 warga kerja Kumpulan Prasarana dan anak anak syarikatnya termasuk anggota Barisan Kepimpinan Kanan Kumpulan, Masnizam berharap initiatif berkenaan diambil secara positif dan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan kesejahteraan Syarikat.
“Saya harap semua 'bosses' dan ketua sentiasa menyediakan saluran dan platform untuk staf meluahkan pandangan dan perasaan mereka. Saya tidak mahu kita selepas keluar mesyuarat atau perbincangan, baru nak kata tak setuju dan cakap macam macam. „Just Say It‟,” kata Masnizam, yang memulakan karier beliau dengan Prasarana pada 2005 sebagai Ketua Jabatan Undang-undang.
Dalam ucapan yang disampaikan dengan penuh keikhlasan dan terbuka, Masnizam, yang pernah menjawat Ketua Jabatan Perolehan, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Strategik Kumpulan, Pengarah Kumpulan Divisyen Perkhidmatan Infrastruktur, dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME), turut mengumumkan pembayaran bonus tahunan atau apa yang beliau sebut sebagai Vitamin B.
“Saya mahu kita semua semua datang kerja dengan bersemangat dan ceria. Kerja mesti seronok. Justeru itu pihak pengurusan akan melaksanakan beberapa inisiatif baru. Pertama, kita nak bagi suntikan Vitamin B kepada staf," katanya dengan disambut sambutan gemuruh daripada para hadirin yang mengisi Dewan Grand Pacific itu.
Demi menyuntik keceriaan bekerja pada hari Isnin dan mengurangkan tekanan, Monday Blues‟, beliau turut mengumumkan polisi baru untuk membenarkan staf memakai kemeja T berkolar yang berimejkan Prasarana pada hari Isnin.
Berkuatkuasa bulan depan, polisi ini, bagaimanapun, tidak dilanjutkan kepada staf barisan depan atau front liners serta pasukan keselamatan yang perlu terus memakai pakaian seragam semasa bertugas.