RM4 SEKALI MASUK UNTUK PARKIR BERTINGKAT STESEN LRT GOMBAK

Release Date: 
Fri, 2013-03-01

 

Kompleks ‘Parkir dan Gerak’ Stesen LRT Gombak, yang dibuka dengan rasminya hari ini, menetapkan bayaran RM4 sekali masuk sehari, tujuh hari seminggu.  Promosi  satu bulan ini bermula 2 Mac sehingga 31 Mac 2013.  

Dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Dato’ Seri Kong Cho Ha, Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Gombak, yang menggunakan sistem tanpa tunai dengan penggunaan Kad MyRapid untuk akses, beroperasi selama 24 jam sehari dan lengkap dengan sistem TV litar tertutup untuk tujuan keselamatan.

Menyediakan 1,260 petak letak kereta dan dibina oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) untuk LRT Laluan Kelana Jaya, kompleks lima tingkat itu juga dilengkapi dengan kemudahan sistem panduan pemarkiran (parking guidance system), lif dan laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan kemudahan Park ‘n Ride dan Stesen LRT Gombak.

Peka kepada keselesaan golongan kelainan upaya dan wanita, kompleks berkenaan mengkhaskan aras lantai bawah untuk kedua-dua kumpulan itu dengan 158 petak untuk wanita dan 24 petak letak kereta khas untuk Orang Kelainan Upaya.

Berucap merasmikan kompleks berkenaan, Dato’ Seri Kong berkata pembinaan Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Gombak adalah untuk menggalakkan orang ramai bertukar daripada kecenderungan memandu kereta sendiri kepada menggunakan pengangkutan awam.

“Berdasarkan rekod, purata bilangan pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya setiap hari pada tahun 2012 adalah seramai 228,083 orang, di mana kira-kira 15,000 orang pengguna menggunakan Stesen LRT Gombak.

“Bilangan pengguna harian di Stesen LRT Gombak juga menunjukkan trend peningkatan dengan purata kenaikan sebanyak 10 peratus setiap tahun,” kata beliau.

Selain Kompleks Parkir Bertingkat Gombak, Prasarana, pengendali perkhidmatan pengangkutan rel dan bas di Lembah Klang, turut membina kompleks parkir yang serupa untuk Laluan LRT Ampang di Stesen LRT Ampang.   

Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam, dalam ucapannya pula, berkata Stesen Parkir Bertingkat Ampang dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Katanya, lebih banyak kemudahan ‘Parkir dan Gerak’ akan disediakan oleh Prasarana dalam jajaran sambungan LRT, yang kini sedang giat dibina di bawah projek Penyambungan Jajaran LRT atau ‘LEP’.   

“Secara keseluruhan, sebanyak 2,493 ruang parkir akan diadakan di tujuh stesen baru LRT untuk Laluan Ampang dan 5,059 ruang parkir di tujuh stesen baru untuk Laluan Kelana Jaya,” kata Tan Sri Ismail.

Projek LEP menyambung Laluan LRT Kelana Jaya dengan tambahan jajaran sebanyak 7 kilometer dari Stesen Kelana Jaya ke stesen Putra Heights dan melalui kawasan-kawasan penempatan padat Lembah Subang, Subang Jaya, USJ dan Putra Heights.

Untuk Laluan LRT Ampang pula, projek berkenaan akan menyambungkan jajaran LRT dari Stesen Sri Petaling ke Stesen integrasi Putra Heights dengan tambahan jajaran sebanyak 7.7km dan melalui kawasan-kawasan penempatan padat sekitar Puchong, Bandar Kinrara dan Putra Heights.

“Di samping itu, projek Bas Rapid Transit – Laluan Sunway, yang bakal beroperasi serentak dengan projek LEP pada 2015, akan turut menyediakan fasiliti ‘Parkir & Gerak’ untuk kemudahan orang ramai,” tambah beliau.

Kompleks Parkir Bertingkat Stesen LRT Gombak ini diletakkan di bawah pengurusan PRIDE, atau Prasarana Integrated Development Sdn Bhd, yang merupakan salah satu daripada unit bisnes strategik yang diwujudkan awal tahun ini daripada urusan penstrukturan semula korporat Prasarana.    

Selain pengurusan kompleks berkenaan, PRIDE turut bertanggungjawab untuk segala urusan komersil yang berkaitan dengan kompleks parkir, peruncitan, telekomunikasi dan pengiklanan.

PRIDE juga terlibat dalam projek pembangunan hartanah di kawasan-kawasan stesen melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat hartanah utama tanahair.

 

Mengenai Prasarana
Syarikat milik penuh kerajaan, Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) memegang amanah Kerajaan untuk meningkatkan standard sistem perkhidmatan pengangkutan awam dengan melaksanakan transformasi seperti yang digariskan di bawah Bidang Keberkesanan Utama Nasional (NKRA). Untuk kecemerlangan operasi, ia menubuhkan Rapid Rail Sdn Bhd untuk pengendalian operasi rel LRT dan monorel; Rapid Bus Sdn Bhd untuk pengendalian operasi bas RapidKL, RapidPenang dan RapidKuantan, PRIME untuk perundingan kejuruteraan dan PRIDE.      

Mengenai PRIDE
PRIDE, atau Prasarana Integrated Development Sdn Bhd adalah salah satu daripada unit bisnis strategik yang ditubuhkan pada 1 Januari 2013 di bawah urusan penstrukturan semula korporat Kumpulan Prasarana. Ia ditubuhkan untuk menerokai dan mengoptimakan peluang-peluang komersil daripada aset-aset milik Prasarana dan mengendalikan projek-projek hartanah di tanah-tanah yang diserahkan kepada Prasarana untuk tujuan pembangunan sistem pengangkutan awam melalui kerjasama strategik dengan kerjasama dengan syarikat-syarikat hartanah tanahair.