134 Anggota Polis Bantuan Prasarana Ikrar Akuan Sumpah

Release Date: 
8 March 2011

Petaling Jaya, 8 Mac 2011: 134 kakitangan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengangkat sumpah sebagai anggota Polis Bantuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dalam dua majlis berasingan pada 8 Mac dan 10 Mac 2011. 

 
Ketua Polis Kuala Lumpur, YBhg Dato’ Pahlawan Zulkifli bin Abdullah menyempurnakan Majlis Ikrar Akuan Sumpah serta penyerahan Sijil Perlantikan kepada 70 anggota Polis Bantuan pada majlis yang berlangsung pada 8 Mac 2011, manakala Majlis kedua yang meliputi seramai 64 orang anggota Polis Bantuan pada 10 Mac 2011 pula  akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, YBhg Dato’ Amar Singh.  Ketua-ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur  dan Warga Kerja Prasarana turut hadir pada kedua-dua majlis ini. 
 
Penubuhan Unit Polis Bantuan Prasarana adalah bertujuan untuk melindungi aset, harta serta kakitangan syarikat, pelanggan dan juga orang awam di dalam kawasan yang telah ditetapkan. Polis Bantuan Prasarana bertugas di stesen LRT, monorel, hab bas terpilih RapidKL dan Rapid Penang serta   Kereta Kabel Langkawi.   
 
Unit Polis Bantuan Prasarana juga mempunyai pasukan bergerak yang dinamakan Special Action Squad  yang terdiri daripada 19 orang anggota bertugas untuk mencegah jenayah di dalam lingkungan kawasan yang ditetapkan.  Pasukan yang bertugas 24 jam sehari ini dilengkapi dengan motosikal untuk memudahkan mereka menjalankan tugas.  
 
Unit Polis Bantuan Prasarana merupakan ahli Persatuan Polis Bantuan Malaysia, yang mana sebelum ini terbahagi kepada dua unit iaitu Polis Bantuan RapidKL dan Polis Bantuan KL Monorail. 
 
Setelah mendapat kelulusan dari Ketua Polis Negara pada bulan Disember 2010, kedua-dua unit Polis Bantuan ini telah digabungkan sebagai Polis Bantuan Prasarana. Unit Polis Bantuan Prasarana ini terdiri daripada 169  anggota pelbagai pangkat, daripada Konstabel hingga kepada Superintendent Polis. 
 
Untuk maklumat lanjut sila hubungi Divisyen Komunikasi Kumpulan Prasarana di talian: 03-76507788 samb. 1614