40 tren di Laluan LRT KJ, kekerapan kini 2.37 minit

Release Date: 
Mon, 2010-10-25

 

PETALING JAYA, 25 Oktober 2010:  Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan sebanyak 40 tren kini beroperasi ketika waktu puncak di sepanjang Laluan LRT Kelana Jaya (KJ) yang dikendalikan oleh anak syarikat Prasarana, RapidKL.
 
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Shahril Mokhtar berkata dengan beroperasinya 40 tren, kekerapan (headway) pada waktu puncak telah ditingkatkan kepada 2.37 minit, berbanding 3.3 minit pada akhir 2009.
 
“Empat puluh tren yang beroperasi ini menggabungkan 24 tren dua-gerabak dan 16 tren empat-gerabak.  Kekerapan 2.37 minit yang dicapai sekarang adalah kekerapan setelah mengambilkira aspek keselamatan dan platform yang boleh digunakan.
 
“RapidKL sebelum ini telah memberi komitmen kepada kerajaan untuk mengurangkan kekerapan tren daripada 3.3 minit kepada 2.5 minit setiap satu apabila kesemua 35 tren empat-gerabak sampai pada bulan April 2011.  Kekerapan 2.37 minit ini adalah melebihi sasaran kekerapan NKRA iaitu 2.5 minit. Sebelum pengenalan tren empat-gerabak, Laluan KJ beroperasi dengan jumlah maksimum 32 tren ketika waktu puncak.”
 
Shahril berkata, bilangan 40 tren beroperasi ini akan dikaji semula bergantung kepada keperluan dan faktor kepadatan (load factor).   
 
Sehingga kini sebanyak 18 tren empat-gerabak telah diterima bagi Laluan KJ. 
 
Tren empat-gerabak bagi Laluan KJ telah mula beroperasi pada 30 Disember 2009, dan sehingga kini berjaya meningkatkan jumlah penumpang sebanyak 6.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 
 
Gabungan tren dua-gerabak dan empat-gerabak penumpang yang beroperasi ini memberikan keselesaan kepada penumpang kerana kepadatan pada waktu puncak telah berjaya dikurang kepada bawah 80 peratus berbanding 140 peratus sebelum ini dan ia menarik lebih ramai menggunakan perkhidmatan Laluan LRT KJ. Secara purata, Laluan LRT KJ membawa 179,000 penumpang sehari.